Register now and get RM5 discount coupon!
Aktiviti yang boleh dilakukan bersama bayi anda semasa musim cuti

Tahukah anda usia bayi 0-6 bulan pertama adalah waktu dimana perkembangan otak bayi adalah yang paling pesat sekali? 

Adalah satu kerugian jika kita tidak merangsang sensori bayi pada ketika ini. Input yang terhasil daripada rangsangan sensori yang diterima akan membina banyak sel-sel neuron baru dan menghubungkan antara satu sama lain. Mari kita lihat antara aktiviti ataupun permainan yang boleh dilakukan dengan bayi pada musim cuti anda.

 

1. "Saya Lihat Diri Saya"

Cermin! Ya, berikan cermin kepada bayi anda. Biarkan dia melihat dan mengeksplorasi wajah dan anggota badannya sendiri. Ibu dan ayah perlulah berkomunikasi dengan bayi sambil menyebut dan menunjukkan anggota badan yang terlibat. Ini dapat meningkatkan kefahaman bayi dan membina kosa kata yang baru untuk mereka. Bayi juga boleh diajar tentang perasaan dan emosi dengan menunjukkan pelbagai riak dan mimik muka yang berbeza yang menggambarkan perasaan sedih, gembira atau marah.

 

2. Laluan Berhalangan

Ibu dan ayah boleh menyusun bantal, selimut atau tilam bayi disekeliling bilik. Letakkan bayi ditengah dan biarkan dia merangkak dan memanjat pelbagai halangan yang berada dihadapannya. Permainan ini dapat menguatkan motor kasar bayi dan merangsang daya sentuhan bayi juga. Sangat mudahkan?

 

3. Finger Painting

Salah satu cara untuk merangsang sensori visual anak adalah dengan aktiviti mewarna. Pelbagai warna yang ada di sekeliling mampu menarik perhatian bayi dan secara tidak langsung mendedahkan bayi kepada asas-asas warna. 

 

4. Portrait Keluarga

Tunjukkan foto-foto keluarga sambil memperkenalkan ahli keluarga kepada bayi anda seperti ayah, ibu, kakak dan abang. Melihat foto sambil membuka dan menutup gambar bagi merangsang daya visual mereka. Sudah pasti mereka akan tersenyum-senyum melihat foto keluarga bersama-sama ibu dan ayah.

 

5. Bekas Ajaib

Letakkan bahan-bahan yang berlainan tekstur seperti pasir, tepung, air atau garam kasar di dalam bekas. Biarkan bayi anda berpeluang merasa pelbagai tekstur bahan yang berbeza. Ibu dan ayah juga boleh menyediakan aksesori tambahan seperti cawan atau botol untuk melatih kemahiran motor kasar bayi.